KANGAR: Seorang lelaki maut dipercayai dipanah petir sewaktu memukat udang dalam kejadian di pesisir pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhamad Faiez Othman, 28, dikatakan keluar bersama seorang lagi awak-awak menaiki bot sekitar pukul 7 petang dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang ke pesisir pantai berkenaan untuk memukat udang.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, selepas beberapa jam, mangsa membuat keputusan pulang semula ke jeti LKIM Kuala Sanglang sekitar pukul 9.50 malam berikutan hujan dan kilat sabung menyabung.
“Ketika dalam perjalanan menghala balik ke jeti, tiba-tiba kilat telah menyambar sekitar kawasan bot dan menyebabkan mangsa telah rebah terlentang.
“Awak-awak yang bersamanya juga terus bertindak menutup enjin ekor bot dan mendekati lelaki itu tetapi mangsa tidak bergerak,” katanya di sini hari ini.
Susulan itu, Yusharifuddin berkata, awak-awak bot berkenaan kemudian bertindak memanggil rakan-rakan nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut bagi memohon bantuan.
Katanya, rakan-rakan nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian telah membantu mengalihkan mangsa dari bot ke jeti LKIM Kuala Sanglang.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa mendapati lelaki itu mengalami pendarahan di bahagian telinga sebelah kiri dan luka melecur di bahagian paha sebelah kanan.
Katanya, pemeriksaan pada mayat juga mendapati mangsa hanya berpakaian seluar pendek berwarna hitam dan tidak berbaju.
“Siasatan telah dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut” katanya. – UTUSAN