TANAH MERAH: Seorang lelaki tidak sempat meraih upah menghantar 15 ekor lembu seludup selepas lori yang dipandunya ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Wakaf Simen di sini kelmarin.
Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pada pukul 11.15 malam menerusi penugasan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, semasa ditahan lelaki berkenaan gagal mengemukan dokumen sah berkaitan penghantaran lembu-lembu tersebut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori itu telah menjumpai 15 ekor lembu dipercayai diseludup dari Thailand.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM186,000 termasuk lori dan kes disiasat dibawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan untuk tindakan lanjut.-UTUSAN