PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang lelaki yang ditahan selepas melanggar dua buah kenderaan di Taman Kajang Mewah dekat sini seperti video tular di Facebook adalah suspek berkaitan kes dadah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya semalam mengesan beberapa video yang dimuat naik di Facebook memaparkan kejadian beberapa anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) yang sedang menahan suspek di lokasi kejadian selepas melanggar dua buah kenderaan dalam kejadian kejar- mengejar.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2.10 pagi semalam membabitkan tangkapan tiga penganggur termasuk seorang lelaki berusia antara 28 hingga 30 tahun.
“Semakan rekod mendapati suspek lelaki yang ditahan mempunyai 23 rekod pelbagai jenis kes jenayah dan dadah. Ketika ditahan, kami turut menemukan satu gram syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Jelasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Kami turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan lain, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dimana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga (5) tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya.- UTUSAN