Lelaki disambar petir terpelanting depan rumah

Lelaki disambar petir terpelanting depan rumah

KEADAAN pokok durian yang disambar petir dalam kejadian di Kampung Batang Melaka, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila terpelanting seperti terkena letupan selepas dipanah petir ketika cuba menutup pintu kereta di rumah mentuanya di Kampung Batang Melaka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Hafizuddin Mihat, 34, berkata, ketika itu hujan turun dengan lebat dan dia sedang memegang payung untuk keluar ke arah kereta.

“Saya baru hampir ke kereta, tiba-tiba dengar bunyi dentuman kuat dan dalam sekelip mata badan saya terangkat dari tanah dan jatuh terduduk.

“Pokok durian di tepi rumah disambar petir dan sebahagian arus itu terkena saya. Kepala rasa pening, kaki pula rasa seolah-olah dicucuk jarum halus,” katanya ketika ditemui.

Tambah Muhammad Hafizuddin, walaupun dalam keadaan lemah dan terkejut, dia cuba melangkah masuk ke rumah bagi menyelamatkan diri, khuatir disambar petir buat kali kedua.

“Saya menjerit sambil terhuyung-hayang masuk ke beranda dan terus tumbang. Isteri dan ahli keluarga yang nampak saya terus datang bantu dan semua kelihatan panik dan menangis.

“Saya ingat itu pengakhiran hidup saya. Dalam hati hanya sempat berzikir dan berserah,” ujarnya.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia kemudian dibawa ke Hospital Jasin menggunakan ambulans sebelum disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Doktor kata tiada kecederaan luar, cuma kedua-dua ibu jari kaki saya masih rasa kebas dan kadang-kadang seperti terkena kejutan elektrik.

“Alhamdulillah saya anggap ini peluang kedua yang tuhan beri. Sekarang saya memang fobia bila hujan, apatah lagi kilat sabung-menyabung,” katanya.

Insiden itu turut menyebabkan sebahagian pokok durian yang reput berhampiran rumahnya musnah dan serpihannya tercampak di sekeliling kawasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN