Lebih 8 individu dipercayai culik Pamela 

Lebih 8 individu dipercayai culik Pamela 

DATUK RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati lebih lapan individu yang menaiki lima kereta berasingan dipercayai terlibat dalam kes penculikan Datin Seri Pamela Ling pada 9 April lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kesemua individu terbabit dikesan menaiki Toyota Camry, dua Nissan Teana, Nissan Almera dan Perodua Myvi.

Katanya, kenderaan e-hailing dinaiki Pamela dikesan dihalang oleh Toyota Camry, Nissan Teana dan Nissan Almera dan dua lagi dipercayai untuk menghalang lalu lintas kira-kira pukul 2 petang. 

“Siasatan kami mendapati kenderaan-kenderaan klon menggunakan nombor plat berdaftar. Kita telah mengesan dan memanggil pemilik asal kenderaan tersebut untuk dirakam keterangan. 

“Mereka memaklumkan bahawa kenderaan terbabit ketika hari kejadian ada bersama mereka (pemilik asal) di Kelantan, Selangor dan Pahang, ” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua kenderaan itu dilihat meninggalkan Putrajaya sejurus selepas melarikan Pamela melalui dua laluan berbeza. 

Ditanya mengenai sama ada individu yang didakwa melarikan polis adalah anggota polis, Rusdi berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan sepenuhnya berkaitan dakwaan terbabit.

“Pakai vest memang biasanya digunakan oleh PDRM dalam operasi tertentu. Kita tidak akan menggunakan vest ini kalau nak sembunyikan identiti kerana akan terganggu operasi. 

“Tetapi dalam kes ini mereka pakai vest dan boleh dipakai oleh orang lain (orang awam). Kalau pergi ke mana-mana tempat boleh dibeli. Jadi berhubung ini (dakwaan) kita akan buat pemeriksaan sepenuhnya,” katanya. 

Isnin lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kehilangan Pamela  termasuk dakwaan dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Pada masa ini semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk kenyataan daripada pemandu Grab yang membawa Pamela sedang dikumpulkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN