Lebih 500 murid sertai rentas desa SK Batu Melintang

Lebih 500 murid sertai rentas desa SK Batu Melintang

SENYUMAN sang juara yang akan mewakili sekolah ke MSSD Jeli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suasana pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan dipenuhi dengan keceriaan dan semangat kesukanan apabila lebih 500 murid menyertai Kejohanan Merentas Desa Tahunan baru-baru ini’

Aktivit yang merupakan acara tahunan sekolah itu menjadi medan untuk mencungkil bakat dalam kalangan murid serta menanamkan budaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga sekolah.

Kejohanan yang bermula pukul pukul 7.30 pagi itu melibatkan keseluruhan murid sekolah, seramai 522 orang, yang menyertai acara larian mengelilingi kawasan kampung berdekatan sekolah.

Dengan tema “Sukan Pemangkin Kecemerlangan Murid”, kejohanan berkenaan turut menjadi landasan awal untuk pemilihan atlet bagi mewakili sekolah ke kejohanan merentas desa peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Jeli kelak.

Menurut Guru Besar SK Batu Melintang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk kejohanan, Laila Ismail, penganjuran program seperti itu bukan sekadar bertujuan untuk mencungkil bakat murid dalam bidang olahraga, malah sebagai salah satu pendekatan sekolah dalam menerapkan nilai kerjasama, daya tahan dan disiplin diri dalam kalangan murid.

“Kejohanan merentas desa ini adalah platform terbaik untuk kami mengenal pasti potensi atlet dalam kalangan murid yang boleh digilap dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Ia juga membantu mengukuhkan semangat berpasukan dan menyemai nilai kesukanan dalam diri setiap peserta,” ujar beliau.

 

Kata beliau, kejohanan tersebut seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan melalui inisiatif “1 Murid 1 Sukan” yang menggalakkan semua murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sepanjang persekolahan mereka.

Objektif utama kejohanan adalah untuk melahirkan atlet sukan yang komited dan berdaya saing. Selain itu untuk mewujudkan budaya bersukan dalam kalangan murid dan warga sekolah. Akhir sekali adalah untuk menyahut seruan Kementerian Pendidikan bagi memastikan semua murid aktif melalui pelibatan dalam kegiatan sukan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kejohanan, Noor Azlina Che Ahmad, yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum, berkata kejohanan menyaksikan komitmen tinggi bukan sahaja daripada murid, malah daripada guru-guru serta ibu bapa yang turut memberikan sokongan padu.

“Keterlibatan menyeluruh semua warga sekolah membuktikan bahawa semangat kesukanan mampu menyatukan pelbagai pihak. Kami berharap program ini bukan sahaja memberi impak dari segi pencapaian sukan, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan sahsiah murid yang lebih cemerlang,” katanya.

Penyelaras kejohanan Nor Rosepini Johari berkata, bahawa aspek keselamatan dan pengurusan murid diberi perhatian sepenuhnya, selaras dengan garis panduan keselamatan aktiviti luar kelas yang ditetapkan oleh Kementeran Pendidikan.

“Pasukan guru telah menjalankan pemantauan yang rapi di setiap laluan larian. Selain itu, sesi pemanasan badan dijalankan lebih awal bagi mengelakkan kecederaan otot dan memastikan kesihatan murid berada pada tahap yang optimum,” ujarnya.

Kejohanan tersebut dimulakan dengan sesi pengurusan murid dan pemanasan badan seawal pukul 7.30 pagi.

Tepat pukul 8 pagi, semua murid telah berkumpul di padang sebelum dilepaskan untuk acara larian.

Laluan larian yang telah ditetapkan melalui beberapa kawasan kampung berhampiran sekolah, menawarkan suasana semula jadi yang menyegarkan dan mencabar. Larian tamat pukul 9.30 pagi dan disusuli dengan waktu rehat.

Lebih menarik perhatian apabila ramai ibu bapa yang berada di kiri kanan jalan untuk menyaksikan kejohanan ini.

Laluan merentas desa ini sejauh 3.7 kilometer yang bermula dari pintu pagar sekolah ke hadapan Balai Polis Batu Melintang.

Seterusnya ke laluan berhadapan Sekolah Menengah Agama (Arab) Al-Diniah dan juga SMK Batu Melintang sebelum balik semula ke sekolah. Terdapat empat stesen yang perlu dilalui oleh murid-murid.

Sebagai menghargai usaha dan semangat kesukanan murid, satu sesi penyampaian hadiah telah diadakan pada pukul 10.30 pagi bagi memberi pengiktirafan kepada pemenang dalam beberapa kategori umur. Majlis kemudian bersurai pada pukul 11 pagi.

Sumbangan makanan kepada semua peserta juga menjadi antara daya tarikan utama program ini.

Murid-murid telah disediakan dengan bihun goreng dan air mineral yang disediakan hasil daripada dana bantuan sukan sekolah.

Kejohanan ini tidak akan berjaya tanpa komitmen tinggi dan kerjasama erat antara guru-guru, staf sokongan dan pihak pentadbiran sekolah.

Gabungan tenaga pelbagai pihak ini menjadikan pengurusan program lebih teratur dan berkesan. Seperti kata pepatah, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, program ini telah memperlihatkan semangat kebersamaan yang utuh antara semua yang terlibat.

Pelaksanaan program ini juga menjadi bukti nyata bahawa pendekatan pendidikan holistik melalui kegiatan kokurikulum amat penting dalam membina jati diri dan potensi murid secara menyeluruh. Ibarat aur dengan tebing, kejayaan ini adalah hasil kesatuan hati dan tindakan antara warga sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.

Kejohanan tersebut berjaya mencapai objektif utamanya dengan penyertaan menyeluruh semua murid serta sokongan padu pihak pentadbir dan guru.

Lebih penting, murid-murid juga telah dididik untuk mengutamakan gaya hidup sihat, membina keyakinan diri dan belajar erti semangat kesukanan serta persaingan sihat dalam kehidupan seharian.

Pihak sekolah berharap agar kejohanan seumpama itu dapat dijadikan sebagai acara tahunan yang lebih besar pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pihak luar seperti alumni dan agensi komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN