PETALING JAYA: Lebih 50 peratus ibu bapa kini prihatin tentang aspek keselamatan dan keselesaan anak-anak mereka di pusat jagaan harian.
Menurut Love & Laugh International Islamic Infant Care Preschool, kajian turut mendapati golongan ibu bapa kini melihat pusat tersebut sebagai platform sesuai untuk perkembangan anak-anak dalam persekitaran yang dibentuk berlandaskan nilai-nilai Islam.
Selain itu katanya, ibu bapa masa kini semakin cenderung untuk mendidik anak-anak dengan nilai murni yang membentuk sahsiah, akidah dan intelek sejak dari usia muda.
“Pendidikan awal kanak-kanak bukan hanya melibatkan akademik, tetapi juga perkembangan emosi, fizikal dan rohani,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, penyediaan pendidikan awal yang terbaik untuk anak-anak dengan kurikulum yang dirancang rapi, tenaga pengajar yang bersemangat dan fasiliti yang canggih penting bagi mengasah intelek, memperkukuh iman serta membentuk keperibadian anak-anak sejak awal usia
“Kokurikulum bukan sahaja bersifat akademik tetapi juga menekankan pengajaran nilai-nilai Islam,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya kini menggabungkan kurikulum berasaskan tematik, QSTEAM (Quran-based Science, Technology, Engineering, Arts, Mathematics) serta amalan rohani harian seperti solat, zikir dan pendidikan akhlak, Love & Laugh memberikan pendidikan yang menyeluruh.
“Setiap program direka untuk mengasah intelek, memperkukuh iman serta membentuk keperibadian anak-anak sejak awal usia,” katanya. – UTUSAN