SEPANG: Seramai 30,993 warga asing yang bekerja secara haram dikenakan tindakan oleh Jabatan Imigresen (JIM) dengan 634 majikan ditangkap sepanjang Operasi Sasar (Op Sasar) bagi tempoh Januari hingga semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat sepanjang tahun ini dalam operasi berkenaan sebagai amaran kepada pihak majikan khususnya, supaya tidak menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.
Katanya, menerusi Op Sasar yang dijalankan serentak di 16 lokasi seluruh negara hari ini, pihaknya menyasarkan sektor-sektor yang bergantung kepada warga asing sebagai tenaga kerja.
“Ia melibatkan sektor pembinaan, perladangan dan perkhidmatan yang kebiasaannya menggunakan pekerja warga asing.
“16 operasi Op Sasar dijalankan serentak mengikut ketetapan waktu yang sama iaitu pukul 10.30 pagi di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sebuah tapak pembinaan di Cyberjaya, di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 223 individu diperiksa dan 129 warga asing ditahan berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Jafri berkata, operasi itu dijalankan berikutan aduan dan risikan di lokasi-lokasi terbabit yang dikatakan menjadi tumpuan PATI.
“Kita sedia maklum kita punya KPI (petunjuk prestasi utama) untuk tahun ini dan kita akan cuba mendakwa majikan yang melanggar peraturan.
“JIM komited dalam memburu PATI serta majikan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan termasuk menggantung kuota pengambilan pekerja mereka atau mengambil tindakan sivil,” jelasnya – UTUSAN