Lebih 10,000 pesara berhimpun di Dataran Merdeka, 31 Mei

Lebih 10,000 pesara berhimpun di Dataran Merdeka, 31 Mei

JEMALE Paiman (tengah) menunjukkan kenyataan media di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 10,000 pesara kerajaan bakal menyertai Perhimpunan Aman Sejahtera Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Mei ini.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Malaysia, Datuk Jemale Paiman berkata, perhimpunan itu bertujuan mendesak kerajaan menyelesaikan pembayaran pelarasan pencen dalam tempoh tiga bulan bagi menghormati keputusan mahkamah pada Januari lalu.

“Perhimpunan itu akan dihadiri pesara kerajaan daripada pelbagai jabatan yang telah berkhidmat lebih separuh hayat mereka kepada kerajaan.

“Atas jasa dan perkhidmatan mereka, Malaysia dikenali di seluruh dunia khususnya di negara-negara Islam. Jadi, seharusnya keputusan mahkamah dihormati sebagai mengenang jasa pesara kerajaan selama ini,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bagi mewakili hasrat lebih 900,000 pesara kerajaan.

“Selain itu, kami juga menyeru agar kerajaan mengekalkan sistem pencen dalam lantikan penjawat awam secara tetap seperti yang tertakluk dalam perlembagaan negara.

“Kami kurang bersetuju dengan keputusan kerajaan membuat lantikan tidak tetap, iaitu secara kontrak atau lantikan sementara,” karanya sambil menegaskan perhimpunan aman tersebut bukan bertujuan membelakangkan kerajaan, sebaliknya menyatakan solidariti sesama pesara kerajaan.

Katanya, perhimpunan yang dijadualkan bermula pukul 8 pagi itu telah mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa pelarasan bayaran pencen perlu dilakukan berdasarkan gaji akhir pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2016, berkuat kuasa mulai Januari 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN