MEKAH: Jemaah haji Malaysia yang kehilangan kad Nusuk diminta melaporkan segera kepada Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan kesulitan ketika menjalani pemeriksaan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, kad Nusuk adalah merupakan satu kad yang amat penting diberikan oleh kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah.
Beliau berkata, ia merupakan satu bentuk identifikasi jemaah haji yang diperkenalkan oleh Arab Saudi tahun lalu dan diteruskan juga pada tahun ini.
“Kad Nusuk mengandung maklumat lengkap berkaitan dengan jemaah haji sama ada nombor pasport, nombor visa dan juga mempunyai kod QR, di mana pihak berkuasa Arab Saudi akan mengimbas kod QR ini untuk mengesahkan visa yang ada pada jemaah haji adalah sah.
“Jadi nasihat saya jika kehilangan kad Nusuk, segera memaklumkan kepada TH, kita akan bantu ganti kad yang baharu. Sementara itu, TH akan beri pengenalan diri sementara seperti salinan visa haji untuk mereka bawa sama ada ke masjid atau ketika berada di luar daripada kawasan hotel atau maktab,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang akhbar di Ibu Pejabat TH Mekah, Hotel Abraj Janadriyah, di sini kelmarin.
Jelas beliau, jadi amat penting supaya setiap jemaah haji sentiasa membawa kad Nusuk ini ke mana sahaja mereka pergi.
“Kad ini yang membantu pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengenal pasti jemaah kerana cuma jemaah haji yang sah serta mempunyai visa haji yang sah dibenarkan masuk terutamanya ke kawasan Masjidil Haram.
“Saya sarankan kepada semua jemaah haji sentiasa membawa kad ini ke mana sahaja mereka pergi lebih-lebih lagi ketika melalui lokasi pemeriksaan pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.
Katanya, Malaysia merupakan negara pertama yang mendapat kad Nusuk ini serta diedarkan di luar Arab Saudi.
Ujarnya, TH telah bekerjasama dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bersama pengendali bagi jemaah haji Malaysia iaitu syarikat Masyariq Holdings.
“Jemaah haji yang masih belum menerima kad Nusuk jangan bimbang kerana kad ini akan kita edarkan di Mekah setelah ia dicetak. TH serta pihak Masyariq akan mengenal pasti mereka yang belum mendapat kad Nusuk dan akan diedarkan di sini,” tambahnya.-UTUSAN