Lapan remaja ditahan pukul dua rakan seusia dengan besi

Lapan remaja ditahan pukul dua rakan seusia dengan besi

TANGKAP layar pergaduhan sekumpulan remaja lelaki di lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kelisa Ria di Sungai Petani, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan lapan remaja lelaki yang dipercayai terlibat memukul dua rakan seusia mereka dalam pergaduhan di lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kelisa Ria, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam dipercayai berpunca daripada perselisihan faham sesama mereka.

“Hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan itu kerana perselisihan faham semasa siaran langsung TikTok antara kedua-dua mangsa yang mendakwa kumpulan remaja lelaki terbabit meninggalkan komen menghina terhadap ibu angkatnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Hanyan, semasa kejadian, pengadu berumur 18 tahun yang merupakan pekerja pembersihan sedang menunggang motosikal bersama rakannya berumur 19 tahun untuk pulang ke rumah masing-masing di kawasan berdekatan.

“Sebaik berada di lampu isyarat itu, pengadu ditahan sekumpulan remaja lelaki yang turut menaiki motosikal dan bertanyakan keberadaan rakan pengadu bernama Danial.

“Selepas dimaklumkan, orang dicari sedang menunggang motosikal di hadapannya, beberapa suspek terbabit bertindak menendang motosikal pengadu sehingga jatuh sebelum membelasahnya menggunakan sebatang besi,” katanya.

Tambahnya, melihat kejadian itu, rakan pengadu yang bernama Danial itu berpatah balik dan semasa cuba meleraikan pergaduhan dia turut dipukul dengan besi, ditumbuk dan ditendang oleh sekumpulan suspek itu.

“Akibat dibelasah pengadu cedera dan lebam di bahagian mata kanan, manakala rakannya patah jari kelingking, bengkak pada kaki kanan dan cedera di bahagian dada dan pinggang.

“Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis tentang kejadian itu,” katanya.

Hanyan berkata, pihaknya berjaya menahan lapan remaja lelaki berusia antara 17 hingga 19 tahun kira-kira pukul 7 petang, semalam dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.

“Mereka kini direman selama lima hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh hingga mendatangkan cedera parah menggunakan senjata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN