Lantikan ahli pembangkang dalam JKMR dipersoal

Lantikan ahli pembangkang dalam JKMR dipersoal

ZAID IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan pelantikan tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), termasuk dua wakil parti pembangkang.

Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut meragui keberkesanan jawatankuasa tersebut dalam memberi nasihat segera kepada kerajaan berhubung isu rasuah.

“Berapa banyak elaun yang akan diterima oleh setiap ahli? Seberapa kerap mereka akan bermesyuarat?

“Apakah kepakaran yang mereka miliki yang tidak terdapat dalam SPRM dan pelbagai jawatankuasa pemantau sedia ada?” soalnya menerusi hantaran di laman Facebook.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan antara tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun sehingga 25 April 2028.

Selain Nik Mohamad Abduh, dua individu lain ialah Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan tersebut diyakini dapat memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan integriti dalam pentadbiran negara.

Menurut Anwar, pelantikan itu juga disifatkan selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai-nilai murni dalam tadbir urus negara.

Surat pelantikan diserahkan oleh Anwar dan turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Zaid turut membangkitkan persoalan mengenai kewajaran penubuhan pelbagai jawatankuasa dalam pentadbiran negara ketika ini.

“Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah negara, pentadbiran dibantu oleh begitu banyak jawatankuasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya