TELUK INTAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berjaya menyiapkan 10 projek pembangunan fizikal dan sosial di Kampung Bahagia di sini dengan peruntukan RM2.5 juta yang memberikan manfaat kepada 8,670 penduduk.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kawasan itu dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI KPKT kerana ia merupakan kampung terbesar di kawasan Parlimen Teluk Intan selain mempunyai ramai penduduk terdiri daripada golongan B40.
“Terdapat keperluan yang mendesak untuk menaik taraf serta membaik pulih banyak kemudahan asas yang telah rosak di kampung ini bagi meringankan beban penduduk kampung dan sekitar.
“Projek itu merangkumi menaik taraf jeti nelayan, gelanggang futsal, pengindahan Geghotak Bahagia, mercu tanda, program bomba komuniti dan sistem pengairan dan saliran.
“Selain itu, membaik pulih tandas, membaiki pagar dan mengecat Dewan Seri Bahagia, pembinaan pondok, balai dan dewan, menaik taraf pusat pengumpulan sampah dan baik pulih landskap,” katanya di Jeti Lorong Masjid di sini hari ini.
Beliau meninjau keseluruhan projek itu yang dapat disiapkan dalam tempoh kurang setahun malah meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.
Ujarnya, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) turut menyumbang RM91,810 bagi kerja-kerja membaik pulih bumbung, tiang galvanized dan pemasangan susur tangan di Jeti Nelayan Kampung Bahagia.
“Ini akan memberi manfaat kepada komuniti nelayan selain berupaya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui sektor perikanan dan industri pelancongan desa (ecotourism).
“Projek pengindahan Jambatan Geghotak Bahagia yang mempunyai nilai sejarah akan menjadi identiti kampung ini, di samping menjadikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan bersejarah (historical tourism) yang terkemuka dan wajib dikunjungi di Teluk Intan dan negeri ini,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bahagia Kanan, Khairul Hisyam Adnan, 51, berkata, kerja-kerja menaik taraf gelanggang futsal membolehkan ramai golongan belia dapat bersukan.
“Selain bersukan, mereka dapat berkumpul bersama-sama bagi mengadakan program yang bermanfaat kepada semua golongan termasuk kanak-kanak.
“Peruntukan RM2.5 juta ini bukanlah sedikit dan kami bersyukur dan berterima kasih kerana terpilih menjadi Kampung Angkat MADANI KPKT yang telah memberikan wajah baharu kepada kampung ini,” katanya. – UTUSAN