CYBERJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menggubal Pelan Induk Perdagangan Pengedaran 2025-2035 yang dijangka dilancarkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian juga sedang dalam proses untuk mendapatkan pandangan daripada para pemegang taruh dan pemain industri sektor peruncitan menerusi beberapa sesi libat urus yang dikendalikan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
“Saya harap menerusi pelan ini, akan ada usaha menginstitusikan kerjasama untuk mengeratkan bukan hanya antara agensi kerajaan tetapi pemain industri sektor peruncitan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kita buat satu gerakan (perancangan) yang lebih tersusun untuk memastikan kita dapat jayakan pelan ini. Mungkin kita boleh minta senarai pemain industri sektor peruncitan dengan Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit dan Majlis Penghargaan Usahawan Sektor Peruncitan di sini hari ini.
Menurut Armizan, pelan induk untuk tempoh 10 tahun itu akan dibangunkan bagi membantu produk tempatan menembusi pasaran peruncitan serta memastikan momentum perkembangan pertumbuhan positif sektor perdagangan pengedaran dapat diteruskan.
“Untuk memastikan lonjakan yang lebih bermakna dan lebih tinggi, kita perlukan pelan hala tuju sebab setiap langkah memerlukan perancangan untuk kita mengekalkan momentum dan sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut melaksanakan Program Latihan Pembangunan yang memberi penekanan kepada usaha pemerkasaan PMKS agar lebih berdaya saing dan mampu membawa produk masing-masing menembusi pasaran peruncitan.
Jelasnya, sehingga tahun lalu, seramai 420 usahawan PMKS terlibat dalam siri program latihan yang telah dilaksanakan dengan 25 daripadanya telah berjaya menembusi pasaran peruncitan melibatkan 179 produk Unit Penyimpanan Stok (SKU) dan jumlah tersebut meningkat berbanding 17 usahawan dan 81 produk SKU pada 2023.
Tambahnya lagi, KPDN turut melaksanakan inisiatif ‘Local To Global Retails’ yang bertujuan membantu usahawan tempatan memasarkan produk bagi menembusi pasaran antarabangsa.
“Tahun lepas, sebanyak 65 syarikat dengan 275 produk SKU berjaya menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Jepun,” katanya. – UTUSAN