Koyakkan paket sos pun boleh cair?- Marissa Yasmin - Utusan Malaysia

Koyakkan paket sos pun boleh cair?- Marissa Yasmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Isteri kena pandai. Suami pun kena pandai.”

Demikian kata pelakon, Marissa Yasmin yang mengulas tentang isu tular tentang wanita pejabat mampu ‘menewaskan’ isteri di rumah hanya kerana layanan manja seperti ‘koyakkan sos’ untuk suami menerusi sebuah video yang dimuatnaik di Instagram.

Bagi Marissa, dia tidak dapat menerima perbuatan suami yang mudah ‘cair’ jika isteri mereka sibuk menguruskan urusan hidup anak-anak.

“Kalau anak merenyut sampai lima orang ada yang berumur 15, 10, tiga, satu dan enam bulan.

“Kemudian awak balik rumah, isteri awak pakai baju kaftan, rambut ikat senget sebelah, muka berminyak-minyak, awak nak cium bini awak, bini awak bau minyak.

“Pembantu rumah pulak tiada, anak merenyut-renyut. Macam mana nak koyakkan sos pun boleh cair?,” katanya.

Jelas pelakon Jadikan Aku Bidadari itu, isteri turut memikul tanggungjawab menguruskan seluruh isi rumah sejak awal pagi hingga lewat malam.

“Segala-galanya, memang dia kerja daripada sebelum subuh sampai lah lepas isyak,

“Masa awak dah tidur pun, dia masih sibuk uruskan hal rumah. Nak siapkan anak-anak ke sekolah esok, kira semuanya dia buat,” katanya.

Namun begitu, Marissa tidak menolak wujud sikap isteri yang bersifat acuh tak acuh terhadap keperluan suami walaupun sudah diberi segala kemudahan oleh pasangan.

“Saya mungkin sokong sekiranya suami-suami ini semua dah bagi segala kelengkapan daripada A sampai Z pada bini-bini ni.

“Tapi dapat pula bini yang jenis, ‘Kau nak makan? Kau dah besar kan? Kau jantan kan? Kenapa nak koyakkan sos pun tak boleh sendiri?,” katanya.

Sehubungan itu, Marissa menyeru agar kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing dengan bijak.

“Sebab itu saya kata, isteri-isteri kena pandai. Dan suami pun kena pandai. Kena faham maksud saya bila saya kata pandai tu,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah hantaran di Threads yang membincangkan bagaimana layanan kecil seperti ‘koyakkan sos’ oleh rakan sekerja wanita mampu membuatkan suami lebih tertarik kepada orang luar berbanding isteri sendiri di rumah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN