PUTRAJAYA: Presiden Kosovo, Vjosa Osmani Sadriu menegaskan komitmen negaranya untuk memperkukuh hubungan strategik dengan Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk keselamatan, ekonomi, pendidikan dan budaya, semasa lawatan rasmi beliau ke Malaysia.
Dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Vjosa menyatakan kesediaan Kosovo untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menangani cabaran keselamatan bersama termasuk keselamatan siber, terrorisme dan penyakit berjangkit.
Vjosa turut menyatakan penghargaan terhadap keputusan Malaysia untuk mengecualikan visa bagi rakyat Kosovo untuk tempoh lawatan sehingga 30 hari, yang dianggap sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala.
Jelasnya, komitmen dua negara itu akan semakin rapat selepas Kosovo mengesahkan pembukaan kedutaan di Kuala Lumpur hari ini sekali gus bakal mengubah landskap perniagaan dan pelaburan berkepentingan bersama dalam sektor-sektor penting selain sebagai simbol memperkukuhkan hubungan diplomatik.
“Terdapat banyak yang mempunyai potensi bersama dari pertanian, tenaga, teknologi ke industri halal sekali gus menjadikan sektor perniagaan kita lebih rapat dan mencipta lebih banyak pekerjaan dan peluang baharu.
“Dalam sektor keselamatan, Kosovo sedia untuk berkongsi dengan Malaysia dalam menangani cabaran keselamatan siber, terrorisme dan penyaki berjangkit.
“Keselamatan rakyat kedua-dua negara bergantung kepada kerjasama erat dan sokongan bersama pada masa-masa kritikal,” katanya di sini hari ini.
Vjosa berkata, kedua-dua negara turut bersepakat dalam soal pendidikan untuk memperkukuhkan perhubungan antara universiti dengan penggabungan pelajar serta dialog budaya.
Katanya, Malaysia telah menjadi penyokong Kosovo dalam perkara itu yang mana ramai pelajar mereka belajar di Malaysia sekali gus mampu membangunkan potensi anak muda untuk sikap saling menghormati dan keberanian.
Pada masa sama, beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Anwar atas kepimpinan dan sokongan berterusan terhadap aspirasi Kosovo di peringkat antarabangsa.
“Malaysia bukan sekadar rakan kepada Kosovo; anda adalah pasangan dalam perjalanan menuju keamanan, kemanusiaan, dan kemajuan,” katanya. – UTUSAN