Kontraktor projek berimpak tinggi akan dipanggil jika gagal patuh jadual

Kontraktor projek berimpak tinggi akan dipanggil jika gagal patuh jadual

MOHD. Jafni Md. Shukor (tengah) melawat beberapa lokasi pelaksana projek berimpak tinggi di Johor Bahru sempena persiapan Tahun Melawat Johor 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kontraktor yang telah diberi amanah dan tanggungjawab melaksanakan projek berimpak tinggi termasuk kerja-kerja mitigasi banjir akan ‘dipanggil’ kerajaan negeri sekiranya berlaku kelewatan atau masalah lain.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan sebarang masalah timbul dapat ditangani dengan segera.

Menurut beliau, ia bagi mengelakkan pembangunan negeri Johor yang sedang dirancang ketika ini dalam usaha mencapai tahap negeri maju menjelang 2030.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM100 juta bagi pembangunan 10 projek berimpak tinggi di seluruh negeri tahun ini.

“Kebanyakan projek berimpak tinggi ini dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini sebagai persediaan sambutan Tahun Melawat Johor 2026, tidak lama lagi,” katanya selepas melawat tapak projek berkenaan, di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.

Tambah Mohd. Jafni, kerajaan negeri memantau rapi pelaksanaan projek-projek terlibat secara berkala dengan ‘update’ bulanan diberikan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Beliau (Onn Hafiz) amat menitikberatkan pematuhan kepada tarikh akhir yang telah ditetapkan. Sekiranya terdapat isu seperti kelewatan, kontraktor akan dipanggil memberi penjelasan.

“Ini kerana kerajaan negeri mahu pastikan semua projek tersebut disiapkan dengan lancar sejajar dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan,” katanya.

Antara projek tersebut termasuklah projek mitigasi banjir di kawasan ‘hot spot’ seperti di Kampung Mohd. Amin dengan peruntukan RM9.8 juta; pembinaan kolam takungan di Jalan Dato’ Sulaiman bernilai RM7.7 juta dan kerja naik taraf Hutan Bandar Johor Bahru bernilai RM10.3 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN