JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor bangunan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memohon tender membaik pulih jambatan di Yong Peng, empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Izwan Mohd. Ali, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Kebenaran Khas Menyertai Tender Di luar Pengkhususan Berdaftar CE02 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi membaik pulih jambatan di Jalan Kampung Paya, Yong Peng di Majlis Daerah Yong Peng, Labis, pada 27 April 2021.
Mohd. Izwan didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faizul Kamarozaman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Siti Nadia Yahya.
Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, namun Siti Nadia memohon jaminan sebanyak RM5,000 kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung isteri dan empat orang anak berusia antara enam hingga 12 tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN