Kontraktor didakwa gagal patuhi award TTPM

Kontraktor didakwa gagal patuhi award TTPM

MOHD. Hakkim Mohd. Fadzil (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar tuntutan berjumlah RM10,000 pada Oktober tahun lalu.-UTUSAN/ NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret dii sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar tuntutan berjumlah RM10,000 pada Oktober tahun lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Mohd. Hakkim Mohd. Fadzil, 40, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd. Talhah.

Bagaimanapun, hukuman tidak dijatuhkan hari ini selepas OKS memohon tarikh sebutan akan datang untuk hukuman diputuskan mahkamah terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, OKS telah gagal mematuhi award TTPM yang bertarikh 13 Ogos 2024 yang memerintahkannya membayar RM10,000 kepada pihak yang menuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh serahan award.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat TTPM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Seremban pada 7 Oktober 2024.

Sehubungan itu, OKS telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Pegawai Pendakwa KPDN, Asmahwati Ahmad berkata, OKS telah ditahan di Balai Polis Seremban 2 pada 15 Mei lalu selepas gagal hadir pada tarikh sebutan lalu dan dikenakan waran tangkap.

Mohd. Hakkim yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia tiada pekerjaan tetap dengan gaji bulanan tidak menentu selain menanggung isteri dan enam orang anak.

“Saya mahu bayar balik apa yang dituntut, saya akan selesaikan tuntutan pemilik rumah secara bulanan. Saya minta tarikh lain untuk jatuh hukum kerana tidak begitu faham prosedur,” katanya.

Difahamkan, tuntutan award tribunal tersebut adalah berkaitan kerja-kerja pembaikan rumah yang gagal disiapkan oleh OKS sebagai kontraktor.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan waran tangkap OKS dibatalkan. Mahkamah membenarkan OKS dijamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Jun depan untuk jatuh hukum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN