Konflik India-Pakistan: Laluan penerbangan jemaah haji Malaysia selamat 

Konflik India-Pakistan: Laluan penerbangan jemaah haji Malaysia selamat 

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan laluan penerbangan sedia ada jemaah haji ke Madinah dan Jeddah selamat dan tidak terjejas akibat konflik India-Pakistan ketika ini.

TH memaklumkan, pihaknya menggunakan perkhidmatan penerbangan sewa khas oleh syarikat AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines untuk membawa seramai 31,600 jemaah haji musim 1446H/2025M.

“TH juga mendapatkan khidmat nasihat dan pengesahan daripada Malaysian Aviation Group Berhad (MAG) untuk mengekalkan laluan penerbangan sedia ada ke Arab Saudi. 

“Laluan udara yang digunakan untuk membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tidak merentasi kawasan udara yang terkesan dengan konflik di antara dua negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Bagaimanapun, TH dan syarikat penerbangan akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya. 

“TH komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji menjadi teras utama operasi haji setiap tahun,” katanya. 

Akibat ketegangan dan serangan terbaharu melibatkan dua negara berjiran itu, sekurang-kurangnya 43 kematian dilaporkan melibatkan 31 orang di Pakistan, manakala 12 kematian di India.

India melancarkan serangan dua minggu selepas mendakwa Islamabad menyokong serangan terhadap pelancong di Kashmir yang ditadbir India, namun tuduhan itu dinafikan Pakistan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN