KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menerusi Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) menaja lebih 2,500 ujian klinikal di lebih 260 lokasi seluruh negara termasuk hospital, pusat akademik dan klinik penjagaan kesihatan primer.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen negara dalam memastikan akses saksama kepada rawatan inovatif sekali gus memperkukuh ekosistem penyelidikan yang mampan dan inklusif.
Katanya, usaha tersebut bukan sahaja memberi harapan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan baharu yang berpotensi menyelamatkan nyawa malah menjadikan negara sebagai antara hab penyelidikan klinikal yang diyakini di peringkat global.
“Penyelidikan klinikal pada asasnya adalah mengenai manusia. Ia menyediakan akses awal kepada rawatan yang berpotensi menyelamatkan nyawa terutamanya apabila tiada lagi pilihan rawatan yang lain.
“CRM juga teguh dalam usahanya meningkatkan kesedaran komuniti, membolehkan rakyat Malaysia membuat keputusan yang berinformasi tentang penyertaan dalam ujian. Persekitaran penyelidikan yang benar-benar berfokuskan pesakit bermula dengan masyarakat yang berilmu dan berdaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian CRM Trial Connect 2025 di Nexus @ Connexion Conference and Event Centre, Bangsar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, barisan penyelidik dan pasukan kajian klinikal negara kini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa bukan sahaja kerana tahap kemahiran mereka tetapi juga profesionalisme dan integriti etika yang tinggi.
Katanya, perkembangan itu turut mendorong peningkatan penyertaan Malaysia dalam kajian fasa awal dan First-in-Human yang memerlukan tahap keupayaan saintifik serta infrastruktur bertaraf antarabangsa.
“Tenaga kerja klinikal kita adalah tulang belakang kepada kejayaan ujian. Pelaburan dalam pembangunan dan profesionalisme mereka mesti menjadi keutamaan negara.
“Di sebalik setiap ujian klinikal yang berjaya, terdapat penyelaras kajian yang bekerja keras tanpa dikenali. Mereka adalah wira yang tidak didendang dalam memastikan pelaksanaan kajian berjalan lancar,” katanya.
Tambahnya, persidangan kali ini turut mencatat sejarah dengan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara CRM dan rakan kerjasama strategik iaitu Gilead Sciences, Hospital Universiti Kyushu dari Jepun dan BP Healthcare yang bakal memperkukuh kerjasama saintifik di peringkat global.
Menurut beliau, pemeteraian tersebut membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuh jaringan global penyelidikan klinikal serta mengangkat nama negara sebagai hab penyelidikan utama di rantau Asia Tenggara.
“Ini bukan sahaja membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi saintifik, malah mempercepatkan pembangunan rawatan baharu yang memberi manfaat kepada pesakit tempatan dan serantau.
“Kita yakin bahawa melalui kerjasama strategik sebegini, Malaysia mampu melonjak sebagai peneraju dalam penyelidikan klinikal yang beretika, berdaya saing dan bertaraf dunia,” katanya. – UTUSAN