KUALA LUMPUR: Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) melibatkan tujuh agensi kerajaan mencerminkan keazaman pelbagai pihak untuk menangani isu-isu berkaitan penyelewengan dan penipuan dalam pelaporan kewangan.
KKFP yang dianggotai Jabatan Audit Negara (JAN) bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, penubuhan KKFP bertujuan untuk mewujudkan kolaborasi antara agensi atau badan awam bagi memperkukuh perkongsian maklumat, tipologi jenayah dan analisis trend semasa melibatkan penipuan perakaunan.
Selain itu, kata beliau, KKFP turut bertindak sebagai platform strategik rentas agensi untuk pembangunan teknikal, penyelidikan dan inovasi ke arah mengurangkan risiko penipuan perakaunan.
“Selain itu, melalui KKFP pemerkasaan pembangunan kompetensi pegawai agensi badan awam melalui latihan pensijilan dan program perkongsian ilmu fraud perakaunan akan dilaksanakan,” katanya dalam ucapan Majlis Peluncuran KKFP di sini hari ini.
Beliau berkata, kumpulan kerja yang ditubuhkan ini bukan sekadar simbolik malah merupakan satu deklarasi komitmen bersama yang menuntut tindakan konkrit dan kolaboratif.
Beliau juga menyatakan kesediaan JAN untuk menyumbang kepakaran dalam mengesan dan menilai risiko fraud perakaunan melalui pengauditan yang dilaksanakan.
“Perkara ini juga selaras dengan pindaan Akta Audit 1957 [Akta 62] yang memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara dalam pelaksanaan pengauditan terhadap badan lain termasuk syarikat yang menerima Jaminan Kewangan, serta pelaksanaan ‘follow the public money’ audit.
“Ini sejajar dengan sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan MADANI untuk Malaysia berada dalam kalangan 25 negara teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2033,” jelasnya.
Tambah beliau, KKFP merupakan satu inisiatif yang tepat pada masanya.
“Ini kerana kolaborasi dan komitmen tujuh agensi untuk memastikan pengamalan tatakelola yang baik dan memperkukuhkan pengurusan kewangan negara pastinya akan dapat menyumbang kepada peningkatan kedudukan dan skor mata negara dalam CPI,” katanya. – UTUSAN