KUALA LUMPUR : Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) dilihat mampu menjadi ‘senjata’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengesan semula wang mahupun aset hasil rasuah yang disembunyikan di luar negara.
SPRM sebagai agensi peneraju dan sekretariat kepada pasukan petugas melibatkan enam agensi dan badan awam itu akan memastikan tindakan pengesanan, analisis serta penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih bersepadu, pantas dan berimpak tinggi.
Selain SPRM, KKFP dianggotai Jabatan Audit Negara (JAN), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, fokus KPPF ialah mengesan transaksi pengubahan kewangan yang mencurigakan hasil sumber dana awam yang dicuri.
“Ayat paling mudah, bukan satu perkara senang untuk kita kesan wang yang dicuri dan kemudian disembunyikan di luar negara. Sebagai contoh, dalam taklimat berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), banyak yang perlu dibuat dan ia bukan kerja mudah dan memerlukan kepakaran.
“Tanpa pakar, proses mendapatkan semula wang berkenaan akan mengambil masa lebih lama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran KKFP di sini hari ini.
Mengulas mengenai siasatan 1MDB, Azam menyifatkan ia sebagai kes yang kompleks dan mencabar kerana kebanyakan aset yang dicuri berada di luar negara.
“Kita akan ke arah itu dengan menggunakan kerjasama KKFP dalam kes 1MDB. Ini bukan satu perkara mudah, banyak aset berada di luar negara dan bukan semua negara mempunyai kerjasama erat dengan kita.
“Kepakaran ahli KKFP akan digunakan sepenuhnya dalam pengesanan aset melibatkan kerjasama antarabangsa,” jelasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan lebih tegas diambil ke atas mana-mana kes tertentu sekiranya wujud keperluan dan bukti yang mencukupi.
Azam berkata, tindakan menangani kes kehilangan wang negara hasil jenayah sindiket yang melibatkan pelbagai pihak bukan satu perkara mudah.
“Dengan penubuhan KKFP ini, kita dapat menyekat kebocoran dan memulangkan semula harta-harta yang dicuri.
“Dalam tempoh enam bulan akan datang, KKFP turut akan memfokuskan kepada aspek pemulangan hasil dengan jangkaan impak positif,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Azam mendedahkan berdasarkan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia telah mengalami kerugian kira-kira RM277 bilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun antara 2018 hingga 2023 atau bersamaan RM55 bilion setahun.
Menurutnya, kajian EMIR Research pada 2023 pula menganggarkan kerugian mencecah RM4.5 trilion antara tahun 1997 hingga 2022, yang merangkumi pelbagai bentuk kebocoran dan penyelewengan.
“Ini bukan sekadar statistik. Ia adalah petunjuk jelas bagaimana rasuah, kesalahan berkaitannya seperti pemalsuan dokumen, manipulasi penyata kewangan dan penyelewengan wang syarikat telah merosakkan dasar, proses dan penyampaian kerajaan serta sektor swasta.
“Akhirnya ia membawa kepada kehilangan keyakinan pelabur dan rakyat, serta kemunduran kemajuan negara,” katanya.-UTUSAN