Ketua pembangkang mahu penjelasan terperinci projek LRT

Ketua pembangkang mahu penjelasan terperinci projek LRT

MUHAMMAD FAUZI Yusoff (tengah) ketika sidang akhbar selepas sesi perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff hari ini mendakwa kerajaan negeri masih belum memberi penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung beberapa isu utama membabitkan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Beliau berkata, ini termasuk penjelasan berkaitan penilaian impak trafik (TIA) serta kos keseluruhan projek berkenaan.

Muhammad Fauzi berkata, walaupun projek itu sudah menjadi projek Kerajaan Persekutuan, namun katanya, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dengan memberikan penerangan kepada rakyat kerana ia dilaksanakan dalam negeri ini.

“Saya ingin memohon supaya laporan TIA ini yang sepatutnya menjadi dokumen asas sebelum memulakan mana-mana projek mega dikongsikan kepada umum.

“Apabila projek LRT ini bermula, sudah tentu masalah kesesakan akan menjadi lebih kronik daripada sebelum ini,” katanya ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi turut mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri berkenaan kos sebenar projek LRT yang dijangka menelan belanja berbilion ringgit serta status pengambilan tanah yang menurutnya belum dijelaskan secara menyeluruh.

“Berapa sebenarnya kos projek ini? Benarkah ini satu-satunya penyelesaian terbaik? Dan adakah ia benar-benar berbaloi?” soal beliau.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Fauzi turut menggesa kerajaan negeri untuk mempertimbangkan pilihan lain yang lebih praktikal seperti menambah baik perkhidmatan bas awam dan memperluas sistem Demand-Responsive Transport (DRT).

“Mengapa tidak diperkasakan dahulu sistem bas awam dan memperbanyakkan DRT sedia ada? Adakah kerajaan negeri sudah meneliti dan membandingkan kos serta impak sosial ekonomi antara pelbagai pilihan yang ada?” soalnya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa projek LRT itu akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, Muhammad Fauzi berkata, jajaran stesen LRT itu sebenarnya ‘tidak mesra’ pelancong.

“Stesen LRT paling hampir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masih berjarak kira-kira 200 meter, sedangkan bas Rapid Penang boleh terus ke pintu masuk lapangan terbang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN