SEPANG: Perbicaraan kes cubaan bunuh membabitkan pengurus sebuah syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 39, yang dijadual bermula hari ini ditangguhkan selepas tertuduh memohon rundingan pengakuan bersalah.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin ketika prosiding perbicaraan hari pertama membabitkan tertuduh di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Menurut Raja Zaizul Faridah, pihaknya dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Hafizul, untuk memasukkan permohonan rundingan pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dihadapinya.
“Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan, namun pihak pendakwaan dimaklumkan oleh peguam tertuduh untuk memasukkan tawaran pengakuan bersalah.
“Pihak pendakwaan akan meneliti tawaran dimohon pembelaan ini,” katanya.
Sehubungan itu, Raja Zaizul Faridah memohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan tawaran dimohon tertuduh.
Sejurus selepas itu, Ahmad Fuad kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi mengetahui status permohonan itu.
Pendakwaan hari ini dikendalikan Raja Zaizul Faridah bersama Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz manakala, Hafizul pula diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Muhammad Syafiq Mohamad Lazim.
Sebelum ini, bapa tujuh anak itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan cubaan bunuh terhadap bekas isterinya, Farah Md Isa, 38, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan jika menyebabkan kecederaan, penjara maksimum 20 tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula, Hafizul didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Mohd Nur Hadith Zaini, 38, (pengawal peribadi Farah) dengan menggunakan senjata iaitu pistol yang boleh menyebabkan kematian.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA di sini, pada 1.09 pagi, 14 April lalu.
Pada 24 Februari lalu, Hafizul dihukum penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.
Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap Hafizul Hawari, 38, yang mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan. – UTUSAN