Kes Akta Hasutan Muhyiddin didengar hakim lain

Kes Akta Hasutan Muhyiddin didengar hakim lain

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan untuk didengar di hadapan hakim lain.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Presiden Bersatu itu dengan prosiding itu kini akan didengar Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Dalam prosiding hari ini, Amer Hamzah yang mewakili Muhyiddin berkata persoalan undang-undang itu timbul daripada kes hasutan yang dihadapi anak guamnya.

“Kes hasutan merupakan kes utama dan telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jenayah 4 (Hakim Muhammad Jamil). Dokumen-dokumen berkaitan kes itu juga telah diserahkan kepada mahkamah.

“Kami telah membuat permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung kes hasutan itu dan ia telah didaftarkan di hadapan Yang Arif (Hakim Azhar). Oleh itu, kami mohon permohonan tersebut didengar di hadapan Yang Arif Hakim Datuk Muhammad Jamil memandangkan kes utama dibicarakan di hadapan hakim itu,” kata peguam itu.

Permohonan tersebut tidak dibantah oleh pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd. Izhar.

Pada 4 April lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan peruntukan tertentu dalam akta tersebut.

Muhyiddin, 77, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.

Kenyataan menghasut itu mengenai dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN