PUTRAJAYA: Sebuah kereta yang ditemui di sebuah kuarters penjawat awam di sini, bukan sahaja tersadai akibat rosak sebaliknya menjadi lokasi pembiakan nyamuk dan tempat pembuangan sampah.
Keadaan kereta begitu teruk dengan keempat-empat tayar tiada dan kesemua cermin pecah sekali gus mengundang bahaya kepada kanak-kanak.
Disebabkan tersadai begitu lama, pokok kecil pun boleh hidup selain ruang dalaman kereta yang lembap serta berlumut.
Itu keadaan sebuah kereta milik penjawat awam yang terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Menunda Kereta/Kenderaan Buruk, Terbiar dan Tersadai (KBT) di Kawasan Komuniti Kuarters Kerajaan, Presint 5, di sini.
Operasi yang oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj).
BPH dalam kenyataan berkata, operasi pagi ini yang bermula pukul 8.30 pagi dan 4.30 petang itu berjaya mengesan 17 buah KBT di tujuh kuarters penjawat awam.
Menurutnya, kali terakhir operasi sama dilakukan adalah dua tahun lalu bagi menunda KBT sekali gus memberi ruang kepada kenderaan lain untuk menggunakan petak parkir berkenaan.
“Sebelum operasi tunda pada hari ini, kami telah meletakkan Notis Pemberitahuan Operasi Tunda Kenderaan kepada pemilik kenderaan sejak 1 Mei lalu.
“Malah, sejak Januari lalu, sebanyak
40 kenderaan KBT dikesan namun, sehingga Isnin lalu, 17 kenderaan didapati masih tersadai,” katanya.
Katanya, sebelum ini, pihaknya telah mengeluarkan 1,000 notis dan peringatan kepada pemilik KBT sejak tahun lalu bagi mengarahkan mereka mengeluarkan KBT ke tempat lain.
Jelasnya lagi, pemilik yang masih enggan mengalihkan kenderaan boleh dikenakan tindakan pengosongan kuarters menerusi penguatkuasaan sistem demerit.
BPH mengingatkan penghuni kuarters supaya tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan, menghalang laluan dan perbuatan mencetuskan provokasi dengan menjadikan petak parkir milik sendiri. – UTUSAN