PETALING JAYA : Hilang kawalan ketika memandu dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan tiga lelaki maut dalam kejadian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara, berhampiran susur Balakong awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.56 pagi tadi, satu makluman diterima Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berkaitan kemalangan maut membabitkan tiga lelaki berusia 29 sehingga 32 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi.
Beliau berkata, semasa kejadian, kenderaan jenis Toyota Vios warna merah dipandu oleh seorang lelaki berusia 32 tahun dan turut dinaiki dua penumpang berusia 30 dan 29 tahun
“Kenderaan bergerak dari arah Pusat Bandaraya melalui Lebuhraya KL-Seremban telah hilang kawalan ketika mengambil susur ke kiri dan terbabas melanggar batu konkrit pembahagi tengah jalan.
“Ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kata beliau, mayat ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.
“Saksi-saksi yang melihat kemalangan boleh tampil memberikan keterangan,” jelasnya.-UTUSAN