PETALING JAYA: Seorang pengurus pemaju hartanah trauma selepas kereta Mercedes E200 miliknya disimbah cat kelabu di kediamannya di Putra Height di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian pukul 7.45 pagi, lelaki berusia 53 tahun itu dimaklumkan ibu mertuanya telah terlihat seorang lelaki tidak dikenali menyimbah cat itu di keretanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berkenaan telah membuat pemeriksaan mendapat kenderaan yang diletakkan di halaman rumahnya telah terkena cat berwarna kelabu.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati hampir keseluruhan kereta milik pengadu telah terkena simbahan cat.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal dapati terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali berjalan kaki sambil membawa beg di kawasan perumahan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.- UTUSAN