KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2026 untuk mengemaskini unjuran ekonomi negara pada tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terdapat kemungkinan negara tidak dapat mencapai unjuran Belanjawan 2025 bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang telah diumumkan sebelum ini iaitu 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
“Justeru, Kementerian Kewangan dan Bank Negara akan memantau serta menilai kesan tarif secara menyeluruh.
“Kedudukan unjuran KDNK akan disemak semak semula apabila terdapat kepastian yang lebih tinggi terhadap dasar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) serta hasil rundingan dua hala berhubung tarif timbal balas.
“Ketidakpastian unjuran ini tidak akan memberikan kesan kepada dasar kerajaan. Kita akan bertindak secara bersasar dan berdasarkan data termasuk pemantauan rapi terhadap mikro ekonomi dan dasar perdagangan antarabangsa,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung tarif AS. – UTUSAN