KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Kad Pekerja Madani kepada lebih satu juta ahli kesatuan sekerja sebagai inisiatif membantu menjaga kebajikan golongan pekerja.
Kad itu memberi akses diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, inisiatif kad itu akan memberi ruang kepada pekerja untuk menikmati kemudahan disediakan.
““Kad Pekerja Madani untuk memberikan ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja ini, diberi diskaun dalam kemudahan itu,” katanya.
Beliau mengumumkan inisiatif Kad Pekerja Madani ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Antara syarikat yang terlibat menawarkan akses diskaun itu termasuk AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zuss Coffee, SOCAR dan Bateriku.-UTUSAN