Kerajaan negeri haramkan vape undang kekeliruan

Kerajaan negeri haramkan vape undang kekeliruan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengharaman penjualan peranti alternatif kepada rokok iaitu vape perlu disemak semula kerana didakwa tidak seiring dengan undang-undang dikuat kuasa persekutuan.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd., Shahabudeen Jalil berkata, kerajaan persekutuan telah meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam bagi mengawal selia industri itu secara sah.

Katanya, langkah kerajaan negeri itu telah mengundang kekeliruan bukan sahaja kepada pemain industri, malah kepada pengguna susulan penguatkuasaan undang-udang berbeza.

“Justeru, tindakan di peringkat kerajaan negeri itu perlu disemak semula dengan lebih menyeluruh agar tidak berlakunya kekeliruan.

“Nanostix juga berpandangan isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan vape oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasukkan atau menyeludup masuk bahan terlarang seperti ‘vape magic mushroom’ ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai jenama vape tempatan yang telah beroperasi sejak 2018, Nanostix telah mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada.

Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.

Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu, manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.

Perlis turut meneliti langkah pengawalan lebih ketat susulan peningkatan penggunaan dalam kalangan belia.

Mengulas lanjut, Shahbudeen berkata, tindakan mengharamkan penjualan vape hanya akan membuka ruang kepada pasaran gelap atau penyeludupan untuk berkembang tanpa kawalan.

Menurutnya, keadaan itu dibimbangi akan menjadi satu risiko yang jauh lebih besar kepada masyarakat.

“Nanostix juga menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengharamkan atau menyekat sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara sebagai langkah kawalan yang lebih tegas terhadap industri ini.

“Tindakan ini penting bagi memastikan hanya produk yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti ditawarkan kepada pengguna tempatan, sekali gus mengurangkan risiko kemasukan cecair yang mengandungi bahan terlarang atau berbahaya,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan langkah sekatan import ini, ia juga mampu mengawal lambakan produk tidak berdaftar di pasaran serta memberi ruang kepada pengusaha tempatan yang mematuhi peraturan untuk berkembang secara lebih bertanggungjawab.

Jelas Shahabudeen sejajar dengan hasrat kerajaan memperkukuh penguatkuasaan dan melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada penggunaan vape secara meluas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN