KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan untuk mengekalkan polisi berkecuali seperti amalan sebelum ini supaya Malaysia tidak menjadi mangsa keadaan konflik antara kuasa besar.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penerangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah menunjukkan terdapat pertembungan dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.
Kata beliau, pertembungan tersebut menyebabkan Malaysia terpaksa mencari jalan penyelesaian supaya tidak dikenakan tempias.
“Kami di sebelah sini (blok pembangkang) ingin menasihatkan kerajaan supaya polisi kita yang yang sentiasa neutral itu harus kita pertahankan. Jangan sesekali nampak seolah kita berpihak kepada satu negara semata-mata,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Anwar semasa sesi penerangan memaklumkan bahawa kerajaan AS bersetuju untuk melakukan rundingan lanjut dengan Malaysia.
Menurutnya, terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan sebelum ini iaitu sebanyak 24 peratus.
Hamzah berkata, nilai lebihan dagangan negara pada 2024 menurun berbanding tahun-tahun lalu sekali gus mengambarkan keadaan sebenar ekonomi negara sebelum dikenakan tarif timbal balik tersebut.
“Pada 2024, RM136 bilion yang dikatakan besar, tetapi jika dibandingkan dengan 2023 ianya RM214 bilion, bermakna kita sudah berkurangan. Begitu juga jika dibandingkan dengan 2022 (yang mencatat) RM255 bilion, ini merupakan nilai lebihan dagangan (dan) sebelum ada tarif.
“Saya mohon supaya kita mengambil ini (sebagai) satu yang serius kerana ia membimbangkan kita semua, janganlah kita ambil sambil lewa sahaja, seolah-olah perkara ini tidak mustahak langsung,” katanya. – UTUSAN