KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk membina sebuah pusat persidangan antarabangsa baharu bagi memenuhi keperluan penganjuran sidang-sidang bertaraf dunia pada masa hadapan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan secara prinsip telah dipersetujui untuk dikaji lebih lanjut oleh semua pihak berkaitan.
Menurut beliau, antara lokasi strategik yang sedang dipertimbangkan ialah Bandar Malaysia di Sungai Besi yang mempunyai potensi besar daripada segi akses, jaringan pengangkutan serta kedudukan geografi yang sesuai.
“Bangunan persidangan sedia ada sudah terlalu lama dan tidak sesuai untuk digunakan. Dari segi kesesuaian terutamanya aspek keselamatan serta baharu yang lebih lengkap dan moden dari segi kemudahan
“Kita melihat keperluan untuk membina fasiliti yang lebih baik dan mampu memenuhi keperluan semasa serta cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Latih Amal Keselamatan Negara Kepengerusian ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia kini sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kepada beberapa persidangan antarabangsa seperti Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM), Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Semua kementerian dan agensi berkaitan akan diminta mengemukakan input masing-masing, khususnya berkaitan keselamatan dan keperluan logistik, bagi memastikan reka bentuk dan fungsi bangunan itu benar-benar menepati piawaian antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, keperluan terhadap sebuah pusat persidangan yang moden kini amat mendesak memandangkan Malaysia juga bakal menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.
“Sidang kali ini (Oktober) lebih besar kerana turut melibatkan semua rakan dialog ASEAN termasuk Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, India dan United Kingdom (UK).
“Keselamatan dan logistik bagi sidang ini akan menjadi lebih mencabar dan perlu diberi perhatian serius,” katanya. – UTUSAN