PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesahkan keputusan pemilihan semua 220 cabang parti itu yang berlangsung di seluruh negara pada baru-baru ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, mesyuarat MPP berlangsung semalam berpuas hati mengesahkan keputusan itu setelah mendengar pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan laporan juruaudit digital antarabangsa selaku pihak ketiga.
Justeru itu katanya, keputusan muktamad pemilihan cabang akan dipamerkan bermula hari ini di https://keputusan.keadilanrakyat.org/.
“MPP turut dimaklumkan dan mengesahkan tarikh-tarikh penting di dalam garis masa persiapan menghadapi Kongres Tahunan untuk 2024 & 2025 yang akan berlangsung pada 23 Mei 2025 sehingga 25 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, pemilihan Cabang PKR menyaksikan beberapa nama menteri dan wakil rakyat kalah antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa manakala Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tewas Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Dalam pada itu, Fuziah memaklumkan, Kongres Tahunan PKR pada kali ini akan menerima kehadiran seramai lebih kurang 10,000 perwakilan yang mengundi secara fizikal di kongres untuk memilih MPP manakala lebih 20,000 perwakilan pula mengundi secara atas talian.
Katanya, sistem perwakilan berpaksikan kepada konsep representasi berkadar mengikut sokongan juga dijangka menarik perhatian kerana calon Ketua Cabang kalah juga layak menghantar perwakilan ke kongres.
Katanya, hal ini kerana apabila mereka boleh menamakan senarai perwakilan di mana jumlahnya mengikut kadar peratus undi yang diterima mereka di pemilihan peringkat cabang tempoh hari.
“Prinsip yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua akan menyemarakkan lagi proses demokrasi di pemilihan 2025 sewaktu kongres kali ini,” katanya.
Kata Fuziah, memandangkan persiapan kongres memerlukan pengurusan teliti, maka MPP dimaklumkan bahawa satu Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan digerakkan ibu pejabat untuk memastikan bahawa perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif dalam membuat persiapan rapi untuk ke kongres kelak
“Ibu Pejabat juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres tersebut untuk semua calon MPP bertemu dengan para perwakilan dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon kelak,” katanya. – UTUSAN