GUA MUSANG: Hidup di tengah hutan belantara tanpa sebarang kemudahan asas tidak pernah mematikan semangat untuk menuntut ilmu dalam kalangan anak-anak Orang Asli terutama dari suku Temiar di Pos Balar.
Setiap hari kira-kira 61 Murid yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan seperti merentas belukar, mengharungi sungai termasuk terserempak dengan haiwan untuk memastikan mereka sampai ke bilik darjah bagi menimba ilmu.
Murid-murid tersebut adalah sebahagian daripada sekitar 600 orang penduduk Orang Asli di Pos Balar yang terletak kira-kira 130 kilometer dari bandar terdekat iaitu Gua Musang.
Tidak ada jalan yang menghubungkan mereka dengan dunia luar kecuali tinggalan laluan balak sejauh kira-kira 80 kilometer yang mengambil masa sekitar enam jam untuk sampai, itu pun jika cuaca elok.
Namun jika hujan, laluan masuk ke pos itu akan berselut dan lecak serta mengambil masa lebih lama untuk sampai.
Bekalan elektrik terdapat di sini dijana daripada stesen solar hibrid, tetapi ia cukup untuk kegunaan sekolah sahaja dan bukan bagi kegunaan penduduk.
Sekolah berkenaan adalah untuk kemudahan anak-anak dari kira-kira 10 buah kampung, Kampung Sepandik, Kampung Belatim, Kampung Chekrok, Kampung Canbem, Kampung Chachuh, Kampung Peng, Kampung Dakoh, Kampung Balar Lama, Kampung Epes dan Kampung Barong.
Menurut guru di SK Balar, yang paling jauh adalah Kampung Sepandik iaitu sekitar dua jam menunggang motosikal untuk sampai.
Murid-murid yang tinggal jauh, disediakan asrama untuk bagi memudahkan mereka ke sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, bagi murid harian, mereka terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran termasuk kemungkinan berlaku dalam air.
Katanya, kejadian kepala air kerap berlaku hingga merosakkan jambatan yang menghubungkan kampung dengan sekolah.
“Jambatan rosak menyebabkan anak-anak tidak boleh ke sekolah, kerana untuk meredah sungai ia agak bahaya dan dalam untuk kanak-kanak,” katanya.
Jambatan utama menghubungkan kampung mereka runtuh sejak 9 Mac lalu, menjadikan laluan ke sekolah bukan sekadar sukar, malah amat berbahaya. Perjalanan dari rumah mereka ke sekolah memakan masa antara 15 hingga 40 minit.
Katanya, dengan dasar sungai berbatu dan arus yang deras melebihi 0.5 meter dalam, ramai ibu bapa terpaksa membuat keputusan sukar antara keselamatan anak atau pelajaran mereka.
“Akibatnya, kehadiran murid menjunam teruk daripada 61 kepada hanya 36 orang sahaja,” katanya.
Penduduk Arisan Long, 40, berkata, mereka membina jambatan sementara, tetapi roboh dihanyut kepala air.
Untuk meredah air sungai itu katanya, ia terlalu bahaya sebab itu anak-anak tidak dapat ke sekolah.
Jambatan besi yang runtuh akibat banjir itu bukan sahaja nadi utama murid, tetapi kepada lebih 500 penduduk yang bergantung padanya untuk urusan harian.
Malah guru SK Balar turut terkesan dan terpaksa menyeberang sungai dengan penuh risiko hanya untuk ke sekolah.
Hanan berkata masalah jambatan amat terdesak yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.
“Jangan tunggu ada kes lemas baru hendak bertindak. Kami tidak mampu hanya kerajaan boleh bantu,” rayunya.
Penduduk, Sharif Din, turut menegaskan kepentingan segera membina jambatan yang menjadi tulang belakang kehidupan di kampung berkenaan.
Katanya, ia adalah soal keselamatan dan menuntut ilmu yang tidak boleh dikompromi.
Sementara itu, tinjauan wartawan Utusan Malaysia ke lokasi, mendapati jambatan besi dibina merentas sungai tersebut hanya tingga rangka dengan batu-batunya sudah tersenbam ke dasar sungai.
Namun ada penduduk masih lagi menggunakannya dengan meniti secara berhati-hati selain terpaksa meredah sungai yang kedalaman sekitar paras pinggang orang dewasa.
Namun jika hujan, laluan itu tidak boleh digunakan langsung dan murid-murid tidak dapat ke sekolah untuk menimba ilmu.- UTUSAN










