JOHOR BAHRU: Kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon bahawa Barisan Nasional (BN) tiada hala tuju selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan bukan pendirian sebenar parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN sentiasa mempunyai hala tuju yang jelas bagi memastikan negara dan kerajaan stabil.
“Ini bukan kenyataan rasmi MCA, ini sebahagian (pandangan peribadi), itu sahaja. Bagaimanapun, kita tetap meraikan perbezaan pandangan.
“Prinsip dan orientasi BN adalah kita sentiasa berbincang dalam sebuah keluarga, tidak perlu komen di peringkat luaran. Selagi pimpinan tak bersuara, itu tak menggambarkan pendirian parti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Riang Ria Rumah Terbuka Terlajak Raya Aidilfitri anjuran Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin di Arena Larkin, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Sin Woon yang meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli MCA dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik parti itu dalam BN.
Menurutnya, MCA perlu bertanya pada diri sendiri sama ada mereka mempunyai hala tuju sebenar atau sebaliknya.
“UMNO dan BN tetap ada hala tuju yang berpegang pada prinsip yang jelas untuk mempertahankan sifat kemajmukan negara, pastikan Malaysia aman dan stabil. Itu hala tuju parti, kita juga mahu pastikan rakyat berbilang kaum di negara ini sejahtera, kerajaannya stabil. Kalau itu bukan hala tuju, apa lagi nak dikatakan,” katanya. – UTUSAN