ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya tindakan undang-undang lebih tegas dikenakan terhadap golongan yang membuang sampah ke dalam sungai di negeri ini.
Baginda bertitah, perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencemarkan sungai, malah turut membebankan kerajaan negeri yang terpaksa membelanjakan wang rakyat untuk kerja-kerja pembersihan.
“Saya kesal apabila mendengar dan melihat sendiri apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai baru-baru ini.
“Sedangkan wang rakyat yang dibelanjakan untuk pembersihan sungai itu sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan.
“Kes-kes seperti ini tidak seharusnya berlaku dan saya menitahkan supaya kerajaan Johor dan pihak berkuasa duduk berbincang bagi melaksanakan hukuman yang sangat tegas terhadap individu atau mereka yang masih lagi sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam sungai atau di mana-mana tempat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Minggu lalu, media melaporkan dua lelaki membuang sampah ke dalam dan tepi sungai di Taman Sri Plentong, Pasir Gudang yang berjaya dirakam pengguna jalan raya.
Rakaman kamera papan pemuka kereta dalam tempoh dua minit 11 saat itu antara lain memaparkan seorang lelaki berbaju merah membuang sampah dipercayai kepingan kotak dari sebuah lori sarat dengan muatan ke dalam sungai.
Bagaimanapun, syarikat yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu hanya dikenakan kompaun RM1,000.
Tunku Mahkota Ismail turut menitahkan pengusaha pelancongan negeri ini supaya sentiasa menjaga kebersihan dan menghindari sikap rakus yang boleh menjejaskan ekosistem di kawasan pelancongan negeri ini.
“Tolong sentiasa jaga kebersihan dan hindari sikap kerakusan sehingga boleh mengganggu ekosistem sesuatu tempat pelancongan berkenaan.
“Setiap perancangan perlu bersistem dan mengambil kira segala sudut supaya keindahan alam semula jadi dan nilainya terjamin serta terjaga,” titah baginda sambil menyifatkan Johor bertuah kerana memiliki alam semula jadi yang indah dan menarik serta bangunan warisan bersejarah yang mampu menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia.
Baginda turut menitahkan kerajaan negeri melakukan kerja naik taraf infrastruktur pelancongan sedia ada serta menggiatkan lagi promosi semua produk pelancongan sedia ada. – UTUSAN