MELAKA: Kritikan terbuka dibuat Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap pemimpin dalam dan luar parti sepanjang kempen Pemilihan PKR bukanlah merupakan tindakan yang bijaksana.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, pendekatan yang digunakan Timbalan Presiden PKR itu juga tidak membawa keadaan kondusif kepada parti malah sebaliknya boleh menjejakan persepsi anggota dan rakyat terhadap parti itu.
Beliau yang juga Ketua Cabang Hang Tuah Jaya berkata, ini bukan kali pertama parti mengadakan pemilihan namun malangnya Rafizi tidak menggunakan pendekatan berkempen dalam suasana harmoni.
“Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi panduan dan peringatan sewaktu berkempen biarlah dalam suasana harmoni dan istilah yang digunakan Perdana Menteri jangan lajak.
“Sebagai pemimpin politik yang lama tentu mahukan pemilihan ini menjadi satu medan untuk memilih pemimpin yang kita rasa boleh menyediakan suatu wadah yang boleh diterima oleh semua kaum.
“Kita tahu dalam keadaan sekarang ini semua rakyat Malaysia melihat Keadilan ini sebagai parti teras yang mengemudi kerajaan Madani Tentulah kita perlu menunjukkan satu contoh yang baik dan saya ambil pendirian berkongsi pandangan yang sama dengan Perdana Menteri dan kita tahu selepas pemilihan nanti adalah waktu untuk kita merapatkan saf kepimpinan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kunci Rumah Mesra Rakyat 2025 Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada dua penerima di Taman Desa Molek, Ayer Molek di sini hari ini.
Mengulas lanjut Shamsul berkata, tindakan yang dilakukan Rafizi yang juga calon Timbalan Presiden itu melakukan serangan terlajak akan menyukarkan proses pemilihan dan merapatkan saf apabila selesai pemilihan parti itu nanti.
Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi serta perwakilan Kongres PKR yang akan bermula esok membuat pilihan bijak bagi memastikan pemimpin nombor dua yang dipilih mestilah mampu untuk bersama dengan Anwar mengemudi parti.
“Saya percaya dengan kebijaksanaan 30,000 anggota dan perwakilan bakal mengundi esok bijak untuk menilai pemimpin bagaimana untuk kita isi diposisi kerusi nombor dua untuk membantu Perdana Menteri yang juga juga Presiden parti,” katanya lagi. – UTUSAN