KUALA LUMPUR: Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan jarak sepanjang 665 kilometer (km) kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 82 peratus sehingga bulan lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek yang menghubungkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu bergerak selari dengan jadualnya.
Katanya, jajaran fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor akan siap pada Disember 2026.
Sementara itu, katanya, jajaran fasa kedua iaitu antara Gombak dan Pelabuhan Klang, Selangor pula akan siap menjelang pada Disember 2027.
“Projek ECRL yang merentasi empat negeri itu sudah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 82.45 peratus sehingga April lalu.
“Kerja-kerja pemasangan landasan yang merupakan komponen utama bagi Projek ECRL sudah berjaya disempurnakan sepanjang 400 kilometer (km) meliputi landasan jajaran utama dari Mara, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan, di mana ianya sudah siap dua bulan setengah lebih awal dari jadual.
“Sehubungan itu, pemasangan landasan sepanjang 100 km dari Mara menghala ke Bentong pula akan bermula pada bulan ini dan dijangka siap pada akhir Jun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapannya, di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir di Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL.
Anthony Loke berkata, kerja-kerja pembinaan sistem elektrifikasi pula sudah mula dilaksanakan sejak Mei 2024 dan akan disusuli dengan pemasangan sistem semboyan, telekomunikasi dan informasi bagi Pengoperasian ECRL.
“Saya difahamkan sebanyak lebih 9,000 tiang Overhead Catenary System (OCS) bagi tujuan aliran elektrik sudah berjaya dipasang di sepanjang jajaran ECRL.
“Hanya berbaki lebih 2,700 sahaja lagi untuk di pasang,” jelasnya.
Beliau berkata, projek ECRL juga menetapkan pembinaan sebanyak 41 buah terowong dengan jumlah panjang kira-kira 69 km di sepanjang jajaran ya bagi mengelak gangguan kehidupan liar dan mengurangkan penerbangan hutan simpan.
Jelasnya , kerja-kerja pengorekan terowong sudah berjaya mencapai penembusan di sebanyak 38 buah terowong sehingga kini dan tiga buah lagi dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
“Pembinaan stesen-stesen ECRL pula berada di tahap yang memuaskan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku kedua 2026 bagi mempersiap siagakan fasa pengoperasian infrastruktur nasional ini,” katanya.-UTUSAN