PETALING JAYA : Keluarga Pamela Ling iaitu wanita yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu masih buntu dimana keberadaannya.
Bapanya, Ling Kie Yii, 65, turut memberitahu, sehingga hari ini, dia tidak dihubungi mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan sekiranya anaknya diculik.
“Masih belum ada perkembangan terkini berkaitan kehilangan anak saya malah kami juga tidak dihubungi sesiapa meminta wang tebusan,” katanya ketika dihubungi.
Kie Yii berkata, mereka buat masa ini hanya menunggu siasatan polis dan buntu memikirkan nasib anaknya selepas dimaklumkan pihak berkuasa anaknya menjadi mangsa culik.
Beliau berkata, anaknya sebenarnya tidak menetap di negara ini sebaliknya sudah berpindah dan menetap di Singapura bersama suami dan anaknya.
“Saya berharap dia berada dalam keadaan selamat dan pulang semula ke pangkuan keluarga. Sejak dia disiasat SPRM, anak saya tidak pulang ke Singapura dan tinggal di Cheras,” jelasnya.
Sementara itu, adiknya, Wan Siong Ling berkata, mereka masih buntu dan tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya dan menunggu hasil siasatan polis.
Terdahulu, polis mengesahkan pihaknya masih mengesan keberadaan wanita berusia 42 tahun yang hilang itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat hari ini, belum ada petunjuk atau perkembangan keberadaannya.
Siasatan masih berjalan dan seramai 12 orang sudah dirakam percakapan setakat ini.
Dalam pada itu, polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan berhubung kehilangan wanita itu. – UTUSAN