KBS lancar kempen belia bebas dadah

KBS lancar kempen belia bebas dadah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjalinkan kerjasama strategik bersama beberapa agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Antidadah Kerajaan (AADK) dan TGV Cinemas dalam usaha memperkasa kempen penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyuarakan kebimbangan terhadap trend semasa menunjukkan peningkatan golongan belia yang mendapatkan bahan terlarang melalui platform atas talian yang sukar dikesan.

“Selepas bertemu dengan belia yang terkesan, ramai yang menyatakan mereka membeli bahan terlarang ini secara dalam talian. Oleh itu, kita sedang mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani isu ini.

“Akses kepada bahan ini terlalu mudah sekarang, terutamanya untuk golongan belia. Apabila kita bercakap mengenai dadah, jangan hanya fikirkan penggunaan jarum suntikan. Dahulu mungkin begitu, tetapi sekarang, bahan terlarang juga boleh didapati dalam bentuk vape dan bahan tidak diketahui (unknown substance),” katanya dalam Majlis Pelancaran Video Kesedaran Kempen Belia Bebas Dadah di Sunway Putra Mall, di sini hari ini.

Hannah turut menyatakan bahawa penyertaan belia dan ibu bapa penting untuk menjayakan kempen Belia Bebas Dadah bagi menyebarkan mesej secara berkesan serta memperkasakan komuniti dan menggalakkan individu terlibat tampil ke PUSPEN secara sukarela.

“Saya percaya ramai belia terkesan tetapi mereka tidak berani untuk mendapatkan bantuan. Oleh itu, kami mempromosikan talian bantuan AADK kerana belia adalah aset negara dan kita perlu bertindak agar isu ini tidak menjadi masalah besar dalam kalangan belia,” ujarnya.

Sebelum ini, TGV Cinemas pernah terlibat dalam kempen video kesedaran mengenai pembuangan bayi, yang terbukti berjaya menggalakkan golongan terkesan dan kini berganding bahu dengan KBS dan AADK untuk membawa mesej antidadah secara kreatif dan langsung kepada khalayak belia.

Video kesedaran anti-dadah bakal ditayangkan di 40 lokasi pawagam TGV di seluruh Malaysia, kecuali Sabah, dan menyasarkan golongan belia yang menjadi majoriti penonton di pawagam.

“Video yang kami tayangkan ini membawa mesej sederhana, tetapi penting. Ia bertujuan menyedarkan belia tentang bahaya dadah dan pentingnya mendapatkan bantuan sebelum terjerumus lebih jauh,” katanya.

Statistik menunjukkan bahawa 60.9 peratus daripada individu yang mendapatkan rawatan atau ditahan berkaitan kes dadah adalah dari golongan belia. Trend ini turut disahkan oleh AADK dalam analisis data mereka bagi empat bulan pertama tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN