MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki maut akibat terperangkap dalam kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang tadi, mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas api marak di rumah yang terletak di tingkat enam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Lokman Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.30 petang sebelum 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Ayer Keroh dan Bukit Katil digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan 20 kali 40 kaki persegi dan api telah memusnahkan kira-kira 50 peratus struktur kediaman tersebut.
“Seorang kanak-kanak lelaki ditemui maut dipercayai akibat terperangkap dalam rumah yang sedang terbakar,” katanya.
Punca kebakaran dan identiti mangsa belum dapat dipastikan. – UTUSAN