Kanak-kanak antara 16 mangsa buruh paksa

Kanak-kanak antara 16 mangsa buruh paksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 16 warga asing termasuk tujuh daripadanya adalah kanak-kanak yang dieksploitasi sebagai buruh paksa telah diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Menerusi Op Pintas Mega dijalankan Bahagian Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), D3, JSJ Bukit Aman di empat lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur turut bertindak menahan 45 warga asing didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama telah dilakukan di sebuah restoran di kawasan Bandar Tasik Puteri Rawang pada pukul 12.05 malam.

Kata beliau, seramai lima kanak-kanak lelaki terdiri empat warga Myanmar dan Indonesia yang berusia 16 sehingga 17 tahun telah diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Atipsom.

“Susulan daripada itu, kita kemudiannya telah menahan dua lelaki terdiri seorang lelaki tempatan dan warga India yang berperanan sebagai majikan dan penyelia kanak-kanak itu.

“Dalam serbuan sama, seramai 20 individu berusia 22 sehingga 45 tahun terdiri 10 warganegara Myanmar, selain warga India (empat); Bangladesh (dua) dan Indonesia (dua),” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Soffian berkata, serbuan kedua telah dilakukan di Tapak Pembinaan Pantai Dalam telah menyelamatkan lapan lelaki kerana menjadi mangsa eksploitasi. 

Beliau berkata, seramai sembilan individu berusia 35 hingga 51 tahun terdiri seorang penyelia warga tempatan telah ditahan pada serbuan sama.

“Serbuan ketiga pula dilakukan ke atas sebuah bengkel kereta di Puchong Utama, Selangor pada pukul 4.16 petang dan menyelamatkan dua lelaki berusia 14 dan 17 tahun selain menahan seorang majikan.

“Kita juga telah menyerbu sebuah lagi bengkel kereta di lokasi sama pada pukul 4.25 petang sebelum menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar,” jelasnya.

Kata beliau, dalam serbuan sama, tangkapan turut dilakukan terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang berperanan sebagai majikan dan dua lelaki Myanmar.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Brickfield dan Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi secara bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK),Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupam Migran (MAPO), Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang atau eksploitasi buruk paksa membabitkan golongan rentan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN