BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di sungai Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin yang tinggal di felda berkenaan masih belum ditemui setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.17 petang.
“Selepas menerima panggilan kecemasan, sembilan anggota dari BBP Sik tiba di lokasi sejurus menerima maklumat pada pukul 4.16 petang disebabkan jarak mereka lebih dekat dengan lokasi.
“Kemudian itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diserahkan kepada BBP Baling untuk melakukan pencarian mangsa di lokasi,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai mandi bersama beberapa orang rakannya di sungai berkenaan sebelum dia dilaporkan tenggelam.
Operasi pencarian di sekitar sungai terbabit akan disambung hari ini termasuk menerima bantuan penduduk kampung serta polis, namun masih tiada sebarang petunjuk.
“Operasi yang ditangguhkan pada pukul 6.30 petang semalam akan disambung hari ini dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani dan Jitra selain Unit Anjing Pengesan K-9 polis dan bomba,” katanya. – UTUSAN