PETALING JAYA: Pelakon, Ikmal Amry, tidak terasa hati dengan tindakan segelintir atlet sukan tempur (MMA) yang mempersendakan pembabitan artis dalam sukan tersebut.
Malah pelakon berusia 30 tahun itu terbuka menerima kritikan serta menghormati pandangan lebih-lebih lagi yang dilayangkan dari atlet MMA profesional.
“Saya tak boleh ulas panjang mengenai hal ini tapi yang dikatakan atlet MMA berkenaan ada benarnya.
‘Saya dan Hun Huqeem bukan atlet profesional, maka wajarlah kami dipersendakan kerana pertarungan kami tempoh hari.
“Tapi pembabitan kami ini hanyalah sebagai tanda sokongan untuk sukan ini, jauh sekali nak tunjuk siapa kuat.
“Apa pun saya tak terasa hati kalau ada yang mempersendakan atau mentertawakan pertarungan kami sebelum ini. Mereka (atlet MMA) berhak berbuat demikian kerana mereka profesional dan sudah berada di atas,” katanya.
Ikmal ditemui pada majlis tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code, baru-baru ini.
Pelakon tersebut sebelum ini menumpaskan Hun dalam gelanggang pertempuran Fury Championship yang dianjurkan di Zepp KL, awal bulan ini.
Ikmal dalam pada itu enggan mengambil serius terhadap tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan pembabitan artis dalam sukan berkenaan.
“Saya dibayar tinggi untuk pertarungan tersebut, sudah menjadi rezeki saya. Jadi, saya rasanya tak wajar mempersoalkan pembabitan saya dan Hun dalam acara tersebut.
“Apa pun, penglibatan kami itu pun sekadar tanda sokongan. Pertarungan itu pun bukan pertempuran profesional, sekadar hiburan sahaja.
“Sebenarnya, ramai artis yang berkebolehan dan mungkin selepas ini mereka juga berminat untuk mencuba sukan jenis ini. Kami cuma mahu sokong perkembangan sukan ini sahaja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ikmal memaklumkan tidak bercadang untuk mengambil insurans khusus atas pembabitan dalam sukan tersebut.
“Tiada keperluan untuk saya daftar insurans kerana saya bukan petinju mahir. Kalau atlet profesional, mungkin perlu (insurans).
“Malah kecederaan yang saya alami pada pertarungan lepas pun tidak seteruk pertarungan atlet MMA profesional. Lawan saya tempoh hari pun dalam kalangan rakan artis juga,” kongsinya lagi. – UTUSAN