Empat tahun kebelakangan ini nama penyanyi kelahiran Surabaya, Indonesia ini menjadi bahan bualan ramai khususnya buat peminat lagu-lagu genre ‘galau’ yang biasanya menggambarkan jiwa racau mereka-mereka yang terbuai dengan alam cinta.
Orangnya masih muda, baharu berusia 21 tahun. Tetapi entah mengapa, setiap karya-karya lagu yang dihasilkan seolah-olah menggambarkan dirinya sudah berpengalaman lama dalam pasang surutnya percintaan.
Barangkali itu yang menjadikan Bernadya atau nama sebenarnya, Bernadya Ribka Jayakusuma seorang yang istimewa sehingga ada yang menggelarkannya ‘Ratu Galau’.
Bahkan, dirinya mengingatkan penulis kepada penyanyi terkemuka antarabangsa, Taylor Swift, yang lazimnya menjadikan kisah cinta peribadi sebagai inspirasi kebanyakan karya lagunya.
“Kadang-kadang saya berasa terbeban juga kerana orang menganggap saya selalu galau. Pernah juga saya tertanya diri sendiri, perlukah saya terus menulis lagu begini atau cuba melakukan kontradiksi?
“Tetapi di akhirnya, saya sedar bahawa menulis dari hati adalah cara terbaik untuk menyembuhkan diri sendiri. Kadangkala apabila menulis sesebuah lagu itu, apa lagi berkaitan kisah sendiri, saya akan menulis dan menangis sampai rasa itu hilang.
“Sampai saya betul-betul sudah tidak berasa ‘sakit’,” katanya sambil tersenyum.
Lagu berjudul Satu Bulan sebagai contoh, bagi Bernadya, ia merupakan satu-satunya karya peribadi yang sangat melekat di hatinya.
“Saya tulis dan hasilkan lagu itu ketika benar-benar sedang merasai kesedihan putus cinta. Lagu-lagu lain, saya tulis ketika diri sedang okey,” katanya.
Melayangkan pertanyaan apakah menjiwai perasaan galau itu sesuatu yang harus dijauhkan, Bernadya tidak bersetuju dengan pandangan itu.
Baginya galau itu juga merupakan satu emosi atau perasaan yang menjadi fitrah seorang manusia.
“Bagi saya ia adalah sebahagian daripada kehidupan yang harus diraikan. Galau itu tak apa-apa. Menangis itu baik untuk jiwa,”ujarnya.
Hitam itu kuat
Dilihat cukup sinonim dengan warna hitam, bahkan setiap kali hadir menjayakan persembahan, itulah pilihan warna baju yang akan digayakan, hal itu menjadi titik pertanyaan kebanyakan peminat.
Maka, ingin sekali jawapan ditemukan daripada mulut penyanyi ini, mengapa warna hitam selalu menjadi signifikasi dirinya dan sebahagian naratif seninya.
“Warna itu lebih daripada sekadar pilihan fesyen. Ia adalah lambang kekuatan. Saya suka hitam.
“Hitam itu kuat. Tetapi bukan kuat yang tegas atau keras. Ia sederhana dan boleh membawa banyak maksud. Memang dari dulu, sepanjang mengadakan konsert jelajah, saya pakai baju semuanya hitam.
“Ada satu lagu saya yang bait liriknya berbunyi begini, ‘Ku tak pernah ikat rambutku lagi semenjak kau bilang rambutku indah bila terurai panjang, baju hitamku tak pernah ku sentuh lagi semenjak kau bilang warna gelap itu membosankan’.
“Judul lagu itu ialah Kata Mereka Ini Berlebihan. Saya sengaja menghasilkan sebagai satu bentuk pemberontakan halus terhadap ekspektasi orang lain.
“Saya mahu tunjukkan bahawa saya ini tak perlu buat apa yang orang suruh saya buat,”katanya.
Konsert di Malaysia
Dalam pada itu, Bernadya dan Juni Concert turut mengumumkan siri jelajah berjudul Untungnya, Untungnya Malaysia Tour 2025.
Istimewanya lagi, Malaysia menjadi negara pertama yang diumumkan dengan dua lokasi iaitu Zepp, Kuala Lumpur pada 13 Julai 2025 dan KDAC Hall, Kota Kinabalu pada 19 Julai 2025.
‘Untungnya, untungnya Malaysia Tour 2025’ ini juga dilengkapi dengan penampilan kolaborasi Bernadya bersama Adrian Khalif.
Tidak hanya tampil sebagai kolaborasi dalam lagu Asumsi, Adrian juga akan tampil dengan set yang istimewa turut merayakan jelajah ini.