SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjadi agensi pertama negara memperkenalkan kad khas Perancang Perwarisan Islam (PPI) bagi mengelak berlakunya penipuan wasiat dan hibah di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pelaksanaan inisiatif itu menjadi pengenalan identiti terbaharu kepada PPI yang berdaftar dengan MAIS dalam membantu umat Islam berkaitan pengurusan harta.
Katanya, kad khas itu akan diberi kepada PPI sebagai dokumen rasmi selaku ejen sah yang mengandungi butiran lengkap seperti gambar dan nombor kad pengenalan.
“Kad itu dapat membezakan mereka daripada ejen tidak sah yang kerap mengambil kesempatan ke atas masyarakat dengan menyalahgunakan nama MAIS.
“Langkah ini menjadi mekanisme pencegahan awal bagi melindungi umat Islam daripada menjadi mangsa penipuan dalam urusan hibah dan wasiat,” katanya selepas melancarkan kad itu dan majlis penghargaan kepada rakan media serta rakan strategik di sini, kelmarin.
Menurut Salehuddin, PPI diwujudkan bagi memudahkan umat Islam di Selangor menguruskan harta pusaka secara sah mengikut syarak tanpa perlu membayar mahal kepada ejen swasta.
“MAIS kenakan yuran RM300 bagi proses wasiat atau hibah. Tujuan kami bukan keuntungan namun membantu masyarakat terutama golongan B40. Selain itu, kita tidak mahu ada individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai ejen MAIS untuk menipu,” ujarnya.
Katanya, setakat ini MAIS melantik seramai 63 PPI sebagai ejen bertauliah, namun bercadang menambah jumlah itu sehingga ribuan orang kelak.
“Walaupun ada pihak swasta mempunyai lebih 4,000 ejen dan mengenakan caj tinggi, kita yakin PPI MAIS akan menjadi pilihan. Kesedaran umat Islam terhadap kepentingan wasiat masih rendah. Jika tidak diurus dengan baik, harta boleh jadi punca perebutan dalam kalangan waris,” katanya. – UTUSAN