Jualan sushi tingkatkan ekonomi keluarga Maisara

Jualan sushi tingkatkan ekonomi keluarga Maisara

MAISARA Mustaffa mengusahakan sushi yang dihasilkan di rumahnya di Kampar. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Ibu kepada dua cahaya mata, Maisara Mustaffa, 39, tidak menoleh ke belakang untuk menceburi perniagaan makanan popular Jepun iaitu sushi yang mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini.

Bermula pada 2019, dia mempelajari teknik menghasilkan makanan itu menerusi perkongsian video dalam media sosial Facebook selain olahan sendiri mengikut citarasa tempatan.

“Pengalaman bekerja dalam bidang perhotelan terutama dalam bidang pemasaran lebih 10 tahun membolehkan saya mengetahui selok belok pengiklanan berkesan sebelum bergelumang dalam industri makanan ini.

“Modal hanya bermula RM150 sahaja dengan pekerja hanya seorang. Sasaran saya ialah berniaga di pasar malam selain ia dihasilkan di rumah sahaja untuk menjimatkan kos,” katanya.

Katanya, Kampar merupakan kawasan strategik kerana kepadatan penduduk selain mempunyai universiti, kolej dan hospital swasta, pejabat dan perindustrian yang menyebabkan segmen pelanggan bersifat meluas.

“Harga jualan setiap satu sushi saya bermula RM1 hingga RM5 yang memberikan pilihan kepada pelanggan untuk menikmatinya dengan harga yang berpatutan dan halal.

“Pendapatan kasar bulanan sekitar RM7,000 hingga RM10,000. Saya bercadang untuk mempunyai premis perniagaan sendiri pada masa akan datang selain membuka peluang perniagaan menerusi sistem ejen di seluruh Perak pada masa akan datang,” katanya yang menamakan produk makanannya, SUSHIMOSHI.

Dia bersyukur kerana kerajaan negeri Perak dan agensi kerajaan sentiasa memberi tunjuk ajar dan bantuan bagi memastikan kos operasi dan perniagaannya bersifat dinamik.

“Saya mendapat bantuan geran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak RM20,000 untuk belian perkakasan dan mesin sushi.

“Selain itu, RM2,000 daripada Geran Usahawan Perak (GeRAK) untuk perkakasan yang membolehkan saya menghasilkan sushi dalam jumlah yang besar untuk meningkatkan kuantiti jualan dan keuntungan.

“Bantuan daripada agensi kerajaan negeri merupakan sebahagian daripada inisiatif program Perak Sejahtera 2030 sangat membantu saya meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

Ujarnya, Sekretariat Usahawan Negeri Perak banyak membantunya dengan menganjurkan kursus-kursus pemasaran, pengendalian makanan dan pengurusan akaun yang betul.

“Saya turut mendapat tunjuk ajar berkaitan penggunaan teknologi tanpa tunai (cashless) yang memberikan pelbagai kemudahan kepada pemilik perniagaan dan juga pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN