PETALING JAYA: Semua proses berkaitan senarai pengundi dan pengendalian aduan dalam Pemilihan PKR 2025 telah dijalankan secara telus, profesional dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Timbalan Pengerusi JPP 2025, Datuk Ahmad Kasim berkata, senarai keanggotaan yang digunakan dalam pemilihan juga adalah senarai terkini yang telah disahkan melalui proses pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda (eKYC) sebelum dimuktamadkan sebagai senarai pemilih sah.
Sehubungan itu beliau menolak dakwaan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa pengurusan pemilihan parti tidak telus dan gagal mengambil kira aduan daripada ahli parti.
“Kenyataan yang mendakwa JPP tidak mengendahkan aduan dan bantahan adalah tidak benar dan amat dikesali.
“JPP telah memberi perhatian serius terhadap setiap aduan yang diterima serta menanganinya secara profesional dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan Rafizi mendakwa Pengerusi JPP 2025, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa gagal dalam mengendalikan pemilihan parti itu termasuk gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan kepincangan yang wujud di dalam pemilihan peringkat Cabang.
Ahmad yang juga Pengerusi Biro Bantahan dan Aduan JPP 2025 berkata, Peraturan Pemilihan Keadilan 2025 telah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 23 Februari 2025 dan disahkan oleh Biro Politik pada 3 Mac di mana kedua-duanya turut dianggotai oleh Rafizi sendiri.
“Peraturan tersebut secara jelas menetapkan bahawa sebarang bantahan perlu dikemukakan bersama bukti yang mencukupi, dan beban pembuktian adalah tanggungjawab pihak yang membuat bantahan,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang proses pemilihan berlangsung, JPP telah menerima sebanyak 289 aduan melibatkan pelbagai peringkat termasuk pencalonan, rayuan, kempen dan pengundian.
Katanya, sebahagian daripada aduan itu telah dirujuk kepada Pejabat Setiausaha Agung dan Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Setiap aduan telah diberikan maklum balas rasmi selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.Laporan berkala juga telah dibentangkan kepada MPP dan adalah mustahil sekiranya perkara ini tidak diketahui oleh mana-mana ahli MPP termasuk Rafizi,” katanya.
Selain itu, Ahmad berkata, keputusan bagi enam Cabang yang dipertikaikan kini sedang disemak semula bersama juruaudit antarabangsa, selaras dengan keputusan yang dibuat oleh MPP.
“Malah, laporan audit yang disebarkan sendiri oleh Rafizi sebelum ini turut mengesahkan bahawa sistem e-pengundian berada dalam keadaan baik, selamat serta tiada bukti wujudnya manipulasi atau penyelewengan,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Zaliha serta seluruh anggota JPP atas komitmen dan integriti mereka dalam mengendalikan proses pemilihan parti.
“JPP akan terus komited memastikan proses Pemilihan Keadilan 2025 berjalan dengan adil, bebas, bersih dan telus sehingga selesai sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN